IMAM MAHDI: KEMUNCULAN KHALIFAH DI AKHIR ZAMAN


HADIS TENTANG IMAM MUHAMMAD MAHDI

Kitab riwayat dan hadis telah mencatat sejumlah besar riwayat yang berisi daripada sabda Rasulullah s.a.w. yang telah mengkhabarkan kepada umat Islam tentang tanda-tanda kemunculannya. Kaum muslimin dari pelbagai mazhab juga telah meriwayatkan tentang perkara tersebut.

.
Seorang pengkaji tentang kewujudan Imam Muhammad Mahdi iaitu Syed Abdullah Syabr di dalam kitabnya 'Haqqul Yakin' mengatakan,
.
“Ketahuilah telah dituturkan dalam riwayat yang mutawatir dan banyak hadis dari pelbagai jalur yang memberitahu tentang berita gembira mengenai Imam Muhammad Mahdi yang mana beliau sehingga kini mengalami keghaiban. hadis tentang keghaiban Imam Muhammad Mahdi telah diriwayatkan pengumpul hadis seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan sebagainya. Riwayat mengenai Imam Muhammad Mahdi juga telah ditulis di dalam kitab muktabar yang jumlahnya mencapai lebih dari 500 hadis.
.
Di dalam kitab ash-Shawaiqul Muhriqah tulisan Ibnu Hajar, dalam bab mengenai Imam Hasan Askari terdapat huraian seperti berikut,
.
“Beliau (Imam Hasan Askari) tidak meninggalkan seorang keturunan pun kecuali seorang putera iaitu Abu al-Qasim Muhammad Mahdi yang ketika bapanya meninggal dunia berusia lima tahun. Tetapi dalam usia tersebut Allah s.w.t. telah menganugerahkan kepadanya hikmah dan dia juga digelar al-Qaim al-Muntazar. Dikatakan bahawa yang demikian itu kelahirannya telah dirahsiakan. Kemudian dia telah menghilangkan diri dan tidak diketahui ke mana perginya.”
.
Penulis lain yang menceritakan perkara yang sama tentang Imam Muhammad Mahdi ialah Ibnu Khalikan, pengarang kitab ‘Al-Fushul al-Muhimmah’, ‘Mathalib as-Su’ul’, ‘Syawahid an-Nubuwah’ dan beberapa buku lagi. Juga diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Di kalangan umatku terdapat Imam Muhammad Mahdi. Jika dia seorang pendek maka tingginya adalah tujuh atau jika dia tidak yang demikian maka tingginya sembilan. Umatku akan memperolehi nikmat daripadanya dengan kenikmatan yang tidak pernah mereka rasakan sebelumnya. Dia juga akan memberikan hasilnya dan tidak menyembunyikan daripada mereka sesuatu pun. Pada ketika itu harta akan menjadi bertimbun-timbun sehingga seorang lelaki akan meminta dan berkata,
.
“Wahai Imam Muhammad Mahdi, berikanlah kepadaku.” Dia (Imam Muhammad Mahdi) akan berkata,
.
“Ambillah.”

.
Seorang ahli hadis yang terkemuka bernama Ibrahim bin Muhammad bin al Mu’aiyad bin Abdullah bin Ali bin Muhammad al-Juwaini al-Khurasani di dalam kitabnya Faraid as-Samathain menuturkan hadis yang serupa daripada Abu Sa’id al-Khudri yang nasnya adalah seperti berikut,
.
“Rasulullah s.a.w. telah bersabda,
“Daku sampaikan khabar gembira kepadamu mengenai Imam Muhammad Mahdi yang akan dimunculkan di kalangan umatku meskipun orang ramai berselisih pendapat dan akan terjadi banyak bencana. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Semua penghuni bumi dan penghuni langit akan merasa puas (reda) terhadapnya. Dia akan membahagikan harta dengan bijaksana. Maka seorang lelaki pun bertanya, Apakah yang dimaksudkan dengan bijaksana itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab,
.
“Dengan merata antara manusia.

.
Al-Juwaini al-Khurasani juga telah meriwayatkan daripada Sa’id bin Jubair daripada Abdullah bin Abbas dan al-Majlisi menyebutnya dengan sanad yang sama berkata,
.
“Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesungguhnya para malaikatku, para washi (pengganti) ku dan para hujah Allah s.w.t. terhadap makhluk sesudahku adalah 12 orang, yang pertama adalah saudaraku dan yang terakhir adalah anak (keturunan) ku.” Maka Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah saudara Tuan itu?” Baginda menjawab, “Ali bin Abi Thalib.” Maka Baginda ditanya lagi, “Siapa pula anak Tuan itu?” Baginda menjawab,
.
“Muhammad Mahdi, yang akan memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman dan demi Dia yang telah mengutuskanku sebagai Nabi, seandainya umur dunia ini hanya tinggal sehari sahaja nescaya Allah s.w.t. akan memanjangkan hari tersebut sehingga Dia membangkitkan keturunanku yang bernama Muhammad Mahdi. Kemudian turunlah Ruhullah Isa a.s. bin Maryam. Dia akan bersembahyang di belakangnya dan bumi akan bersinar dengan nur Tuhannya. Kekuasaannya akan menjangkau timur dan barat.”

.
Al-Juwaini mengeluarkan daripada Ibnu Umar dengan katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Imam Muhammad Mahdi akan dibangkitkan dan di atas kepalanya ada awan yang di dalamnya ada seorang penyeru yang menyeru, inilah Imam Muhammad Mahdi. Khalifah Allah s.w.t., maka ikutilah dia.”[4]
.
Al-Muttaqi al-Hindi di dalam kitabnya ‘Kanzul Ummal’ meriwayatkan sebagai berikut,
.
“Imam Muhammad Mahdi akan keluar di kalangan generasi terakhir umatku. Allah s.w.t. akan memberinya minum dengan air hujan dan bumi akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan dengan suburnya. Dia akan memberikan harta dengan bijaksana dan binatang ternakan akan menjadi banyak. Umat akan menjadi mulia. Dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun.”

.
Imam Abu al-Fida’ Ismail bin Katsir di dalam kitabnya ‘An-Nihayah Au al-Fitan Wa al-Mulahim’, mengeluarkan riwayat yang berbunyi seperti berikut,
.
“Imam Ahmad bin Hambal telah meriwayatkan daripada Hajjaj dan Abu Nu’aim, keduanya berkata bahawa telah bercerita kapada kami Qathr daripada al-Qasim daripada Abu ath-Thufail telah berkata Hajjaj bahawa aku mendengar Ali berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Seandainya umur dunia ini hanya tinggal sehari sahaja nescaya Allah s.w.t. akan membangkitkan seorang lelaki daripada kalangan kami yang akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ianya dipenuhi dengan kejahatan.
.
KEPERIBADIAN IMAM MUHAMMAD MAHDI

Banyak hadis Nabi yang mengkhabarkan tentang kemunculan dan sifat Imam Muhammad Mahdi. Dalam riwayat tersebut telah dijelaskan tentang keperibadian Imam Muhammad Mahdi supaya umat Islam tidak kebingungan dan supaya tiada orang yang boleh mengaku dialah Imam Muhammad Mahdi.
.
Di bawah ini dijelaskan tentang keperibadian Imam Muhammad Mahdi:
.
1. Imam Muhammad Mahdi berasal dari kaum Quraisy. Imam Ahmad dan Mawardi telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda,
.
“Bergembiralah kamu semua dengan Imam Muhammad Mahdi, seorang lelaki dari Quraisy, daripada keluargaku. Dia akan muncul meskipun orang ramai berselisih dan banyak terjadi bencana. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman dan kejahatan.” .
2. Imam Muhammad Mahdi berasal daripada keturunan Abdul Mutthalib. Ibnu Majah telah mengeluarkan riwayat yang sanadnya daripada Anas bin Malik, dia berkata,
“Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kami, anak-anak Abdul Muthalib adalah pemimpin para penghuni syurga. Daku, Hamzah, Ali, Ja’far, Hasan, Husain dan Muhammad Mahdi.”
.
Imam Muhammad Mahdi berasal daripada keluarga Muhammad, daripada keturunannya yang suci dan bahawa namanya adalah Muhammad. Imam Ahmad bin Hambal berkata,
.
“Telah bercerita kepada kami Hajjaj dan Abu Nu’aim keduanya berkata bahawa telah bercerita kepada kami Qathr daripada Qasim daripada Abu at-Thufail berkata Hajjaj, aku mendengar Saidina Ali k.wh. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang seandainya umur dunia ini hanya tinggal satu hari sahaja nescaya Allah s.w.t. akan membangkitkan seorang lelaki daripada kalangan kami yang akan memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kejahatan.”
.
Imam Ahmad berkata,
.
“Telah bercerita kepada kami Fadhil bin Dalin daripada Yasin al-‘ajli daripada Ibrahim bin Muhammad bin al-Hanafiah daripada ayahnya Ali berkata,
.
“Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa Imam Muhammad Mahdi itu daripada kalangan kami, Ahlul Bait. Allah s.w.t. memunculkannya pada malam hari.”
.
Imam Ahmad juga mengeluarkan riwayat daripada Sufian, Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Dunia tidak akan lenyap dan tidak akan musnah sehingga muncul seorang lelaki dari Ahlul Baitku yang menuruti langkahku yang mana namanya sama dengan namaku.”
.
Demikian juga Ahmad telah meriwayatkan daripada Amr bin Ubaid daripada Sufian bin Uyainah daripada Sufian ats-Tsauri yang semuanya daripada Ashim, dengannya Tirmizi meriwayatkan daripada jalur dua Sufian dan dia mengatakan,
.
“Hadis tersebut adalah hadis Hasan Shahih”
.
Tirmizi berkata,
.
“Telah bercerita kepada kami Abdul Jabbar bin al-Ala’ al-Aththar daripada Sufian bin Uyainah daripada Ashim daripada Zur daripada Abdullah daripada Nabi bahawa Baginda bersabda, “Akan muncul seorang lelaki dari keturunanku yang akan menuruti langkahku. Namanya sama dengan namaku.”
.
Berkata Ashim daripada Abu Ashim daripada Abu Hurairah meriwayatkan,
.
“Seandainya umur dunia ini hanya tinggal sehari nescaya Allah s.w.t. akan memanjangkannya sehingga dia (Imam Muhammad Mahdi) muncul”
.
Berkata Abu Daud,
.
“Telah bercerita kepada kami Sahl bin Tamam bin Bazi daripada Imran al-Qatthan daripada Qatadah daripada Abu Nadrah daripada Abu Said bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda,
.
“Imam Muhammad Mahdi itu daripada keturunanku. Keningnya lebar dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Dia juga akan menjadi pemimpin selama tujuh tahun.”
.
Ahmad dan Abu Nu’aim meriwayatkan daripada Abu Said bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Dunia tidak akan musnah sehingga seorang lelaki daripada Ahlul Baitku menguasainya dan memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kejahatan. Dia akan berkuasa selama tujuh tahun.”
.
As-Suyuthi di dalam kitabnya ‘Al-Hawi Lil Fatawa’ dalam bab hadis mengenai Imam Muhammad Mahdi mengatakan,
.
“Ini adalah serangkaian hadis yang disepakati yang menceritakan tentang Imam Muhammad Mahdi. Aku telah menapisnya sebanyak 40 hadis yang dikumpulkan al-Hafiz Abu Nu’aim dan menambahkan apa yang dia tidak memilikinya. Aku memberi catatan dengan huruf kaf.”
.
3. Imam Muhammad Mahdi berasal daripada keturunan Fatimah. Ibnu Majah mengeluarkan riwayat di dalam Sunannya daripada Said bin al-Musaiyab berkata,
.
“Kami sedang berada bersama Ummu Salamah dan kami berbincang tentang Imam Muhammad Mahdi. Maka berkatalah Ummu Salamah,
.
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda Imam Muhammad Mahdi itu daripada keturunan Fatimah.”
.
4. Para Ulama bersepakat para Khalifah itu jumlahnya 12 orang. Beberapa riwayat menguatkan Rasulullah s.a.w. telah menyatakan dengan jelas mengenai para Imam (khalifah) yang 12 orang. Mereka adalah Saidina Ali, Saidina Hasan, Saidina Husain, Imam Ali Zainal Abidin, Imam Muhammad Baqir, Imam Ja’far Shadiq, Imam Musa Kazim, Imam Ali Redha, Imam Muhammad Jawad, Imam Ali Hadi, Imam Hasan Askari dan Imam Muhammad Mahdi.
.
Rasulullah s.a.w. juga telah mengkhabarkan para khalifah dan penerima washi (pengganti) Baginda berjumlah 12 orang. Yang pertama Saidina Ali k.wh. dan yang terakhir adalah Imam Muhammad Mahdi.
.
Al-Juwaini telah mengeluarkan riwayat di dalam Faraid as-Samathain daripada Said bin Jubair daripada Abdullah bin Abbas berkata,
.
“Rasulullah s.a.w. telah bersabda sesungguhnya para khalifah, para washiku dan para hujah Allah s.w.t. terhadap makhluknya sesudahku ada 12 orang. Yang pertama adalah saudaraku dan yang terakhir adalah anak (keturunan) ku.” Maka Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan dengan saudara Tuan itu?” Baginda menjawab, “Ali bin Abi Thalib.” Baginda ditanya lagi, “Dan siapakah yang dimaksudkan dengan anak Tuan itu?” Baginda menjawab,
“Imam Muhammad Mahdi yang akan memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana ianya telah dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman.”

.
Antara para ulama yang membicarakan tentang kewujudan Imam Muhammad Mahdi dan mengumpulkan hadis mengenainya adalah Muhammad Shadiq Hasan al-Qanuji al-Bukhari di dalam kitabnya ‘Al-Iza’ah Lima Kana Wa Yakunu Baina Yadai al-Sa’ah’. Muhammad Shadiq Hasan al-Qanuji berkata,
.
“Antara tanda tibanya hari kiamat adalah akan muncul ‘Imam Muhammad Mahdi al-Mau’ud al-Muntazar al-Fathimi’ (Imam Muhammad Mahdi yang dijanjikan yang ditunggu dari keturunan Fatimah). Hadis yang disebut mengenainya dengan riwayat yang berbeza banyak sekali dan sehingga mencapai tahap mutawatir. Hadis tersebut termaktub di dalam kitab Sunan dan kitab lain yang merupakan lembaran dan musnad.” Kemudian dia menyambung lagi,
.
“Hadis mengenai Dajal dan Nabi Isa a.s. juga mencapai tahap mutawatir serta tiada alasan untuk mengingkarinya sebagaimana yang telah dijelaskan al-Qadhi al-Allamah Muhammad bin Ali asy-Syaukani al-Yamani di dalam kitabnya ‘At-Taudhih Fi Tawatur Ma Jaa Fi al-Mahdi al-Muntazhar Wa ad-Dajjal Wa al-Masih’.” Beliau menambah,
.
“Syed al-Allamah Badrul Millah al-Munir Muhammad bin Ismail al-Amir al-Yamani telah mengumpulkan hadis yang menetapkan kemunculan Imam Muhammad Mahdi dan dia adalah daripada keluarga Muhammad s.a.w., dia akan muncul di akhir zaman.” Seterusnya beliau menambahkan lagi,
.
“Ketentuan waktunya tidaklah dinyatakan. Hanya dinyatakan dia akan muncul sebelum munculnya Dajal.”
.
Abdul Aziz bin Baz, rektor Universiti Islam Madinah al-Munawwarah juga telah menjelaskan bahawa munculnya Imam Muhammad Mahdi adalah suatu kebenaran yang tidak perlu diragukan lagi. Ini dinyatakan dalam ucapan beliau,
.
“Sesungguhnya masalah Imam Muhammad Mahdi merupakan masalah yang telah menjadi pengetahuan umum dan hadis mengenainya banyak sekali bahkan mutawatir. Hadis ini menunjukkan munculnya tokoh yang dijanjikan ini merupakan suatu perkara yang telah ditetapkan dan kemunculannya adalah benar.”
.
Yang Berhormat Ustaz Syeikh Abdul Muhsain al-Ibad, salah seorang tenaga pengajar di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah, dalam salah satu kuliahnya yang sangat berharga bertajuk ‘Akidah Ahlus Sunnah dan kesan tentang Imam Muhammad Mahdi’ telah menyebutkan nama sahabat dan pengarang kitab hadis yang meriwayatkan hadis tersebut. Antara mereka ialah: 


1. Othman bin Affan
2. Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib
3. Thalhah bin Ubaidillah
4. Abdul Rahman bin Auf
5. Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh.
6. Ummu Salamah
7. Ummu Habibah
8. Abdullah bin Abbas
9. Abdullah bin Masud
10. Abdullah bin Umar
11. Abdullah bin Amr
12. Abu Said al-Khudri
13. Jabir bin Abdullah
14. Abu Hurairah
15. Anas bin Malik
16. Ammar bin Yasir
17. Auf bin Malik
18. Tsauban, pembantu Rasulullah s.a.w.
19. Qurrah bin Ayas
20. Ali al-Hilali
21. Huzaifah bin al-Yamani
22. Abdullah bin al-Harits bin Hamzah
23. Imran bin Hushain
24. Abu at-Thufail
25. Jabir ash-Shadafi”

Beliau menyebut dalam kuliahnya nama para imam yang mengutip hadis mengenai Imam Muhammad Mahdi di dalam kitab mereka. Beliau berkata,
.
“Hadis mengenai Imam Muhammad Mahdi itu telah dinukilkan oleh sejumlah besar imam di dalam kitab Shahih dan Sunan, Mu’jam dan Musnad. Jumlah kitab mereka yang saya ketahui adalah berjumlah 38. Mereka ialah:
.
1. Abu Daud di dalam Sunannya.
2. Tirmizi di dalam Jami’nya.
3. Ibnu Majah di dalam Sunannya.
4. An-Nasaie.
5. Ahmad di dalam Shahihnya.
6. Ibnu Hibban di dalam Shahihnya.
7. Al-Hakim di dalam Mustadraknya.
8. Abu Bakar bin Abi Syaibah di dalam Mushnifnya.
9. Nua’im bin Hammad di dalam kitab al-Fitan.
10. Al-Hafiz Abu Nua’im di dalam kitab al-Mahdi dan di dalam al-Hilyah.
11. At-Thabrani di dalam al-Kabir, al-Ausath dan ash-Shaghir.
12. Ad-DaruQuthni di dalam al-Afrad.
13. Al-Barudi di dalam ma’rifah ash-Shahabah.
14. Abu Ya’la al-Maushuli di dalam Musnadnya.
15. Al-Bazza di dalam Musnadnya.
16. Al-Harits bin Abi Usamah di dalam Musnadnya.
17. Al-Khatib di dalam Talkish al-Mutasyabih dan di dalam al-Muttafaq Wa al-Muftaraq.
18. Ibnu ‘Asakir di dalam Tarikhnya.
19. Ibnu Mandah di dalam Tarikh Ishbahan.
20. Abul Hasan al-Harabi di dalam al-Awal min al-Harabiyat.
21. Tamam Ar-Razi di dalam Fu’adnya.
22. Ibnu Jarir di dalam Tahzib al-Atsar.
23. Abu Bakar al-Muqri di dalam Sunannya.
24. Abu Umar ad-Dani di dalam Sunannya.
25. Abu Ghanam al-Kufi di dalam kitab al-Fitan.
26. Ad-Dailani di dalam di dalam Musnad al-Firdaus.
27. Abu Bakar al-Askaf di dalam Fawaidul Akhbar.
28. Abul Husain bin al-Manawi di dalam kitab al-Malahim.
29. Al-Baihaqi di dalam Dala’inun Nubuwah.
30. Abu Umar al-Muqri di dalam Sunannya.
31. Ibnu al-Jauzi di dalam Tarikhnya.
32. Yahya bin Abdul Hamid al-Hamani di dalam Musnadnya.
33. Ar-rauyani di dalam Musnadnya.
34. Ibnu Sa’ad di dalam at-Thabaqat.
35. Ibnu Khuzaimah.
36. Al-Hasan bin Sufian.
37. Umar bin Syabh.
38. Abu Awanah.”

Keempat pengarang yang disebutkan terakhir, dinyatakan Imam Suyuthi di dalam kitabnya bernama ‘Al-Urf al-Wardi’ bahawa mereka termasuk ahli hadis yang mengeluarkan hadis tentang Imam Muhammad Mahdi.

TANDA KEMUNCULAN IMAM MUHAMMAD MAHDI

Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan umatnya supaya beriman kepada Imam Muhammad Mahdi dan supaya sentiasa menanti seorang pembaharu yang bekerja di atas dasar Kitabullah dan Sunnah Nabi yang suci, memimpin masyarakat menuju hidayah dan pendamaian, menghancurkan berhala Jahiliah, pemikiran dan peradaban yang rosak. Rasulullah s.a.w. juga telah memberikan penjelasan mengenai tanda tentang kemunculan Imam Muhammad Mahdi. Tanda yang mengiringi kemunculan Imam Muhammad Mahdi merangkumi tanda yang bersifat kemasyarakatan dan tanda yang bersifat gejala alam.
.
Antara tanda kemasyarakatan yang menunjukkan kemunculan Imam Muhammad Mahdi adalah apabila merosotnya peradaban dan kehidupan umat manusia ke lembah Jahiliah. Masyarakat telah merosot ke lembah Jahiliah yang meliputi bidang pemikiran, akidah, sistem, pengetahuan, kegelisahan, peperangan, kezaliman dan kejahatan telah tersebar luas, maka ketika itu masyarakat memerlukan adanya seorang pembaharu besar yang akan mengubah roda sejarah dan mencipta revolusi yang menyeluruh berdasarkan method kenabian dan dakwah tauhid yang unggul.
.
Sebagaimana yang telah diberitakan para periwayat hadis, antara tanda kemunculan Imam Muhammad Mahdi adalah umat manusia telah sampai ke tahap kemajuan yang tinggi dalam bidang ilmu pengetahuan dan matangnya akal manusia.
.
Riwayat lain menguatkan antara tanda kemunculan Imam Mahdi iaitu munculnya kaedah, pendukung serta gerakan sama ada gerakan politik atau gerakan ketenteraan yang menyediakan landasan yang kukuh bagi kemunculan Imam Mahdi.
.
Dengan demikian antara tanda kemasyarakatan tersebut meliputi,
.
1. Muncul ‘As-Sufiani’, seorang yang berketurunan Abu Sufian yang mengganas dan akhirnya, dibunuh tentera Imam Muhammad Mahdi.
.
2. Terbunuhnya seorang Syed Hasani yang berketurunan Saidina Hasan kerana mempertahankan perjuangan Imam Muhammad Mahdi.
.
3. Berlaku pertenglikahan antara Bani Abbasiah kerana perebutan kuasa.
.
4. Terbunuhnya seorang yang digelar sebagai ‘Nafsu Zakiah’ bersama 70 orang pengikutnya.
.
5. Terbunuhnya seorang berketurunan Hasyimi di antara Hajar Aswad dan Makam Ibrahim.
.
6. Musnahnya dinding Masjid Kuffah.
.
7. Berkibar megah bendera hitam di daerah Khurasan.
.
8. Muncul seorang yang digelar ‘Yamani’ sebagai pengikut setia Imam Muhammad Mahdi.
.
9. Orang Barat memerintah Mesir dan pemerintahannya meliputi penduduk Syam.
.
10. Ramai orang Turki berhijrah ke tanah Arab.
.
11. Ramai orang Rom membanjiri Kota Rom.
.
12. Orang Arab berpecah belah sehingga pemerintahan dan jajahannya dibahagikan kepada beberapa bahagian.
.
13. Pemimpin Mesir dibunuh rakyatnya sendiri.
.
14. Negeri Syam ditimpa bencana kerosakan.
.
15. Berlaku konflik antara tiga puak di negeri Syam.
.
16. Tentera barat mulai memasuki Kota Kuffah.
.
17. Berkibarnya bendera hitam di Kuffah.
.
18. Keluar 60 orang yang mengaku dirinya sebagai Nabi.
.
19. Keluar 12 orang Imam dari keturunan Saidina Ali bin k.wh. Thalib.
.
20. Terbunuh dan dibakar seorang pengikut setia Ahlul Bait dari Bani Abbasiah di daerah Jalula’.
.
21. Jambatan berhampiran Baghdad ditutup.
.
22. Penduduk Baghdad berkeliaran kerana berlaku gempa bumi.
.
23. Penduduk Baghdad menjadi ketakutan.
.
24. Berlaku kematian orang awam secara mengejut di Kota Baghdad.
.
25. Berlaku pertelingkahan antara dua kumpulan dari kalangan ajam (bukan Arab) sehingga berlaku pertumpahan darah yang sengit.
.
26. Sebahagian manusia berupa bentuk menjadi monyet dan khinzir.
.
27. Bangkit sebahagian manusia dari kubur dan bertemu dengan orang ramai.
.
28. Tersebar luasnya kezaliman dan kejahatan.
.
29. Bermaharajalela kejahiliahan dan munculnya kehidupan Jahiliah yang meliputi akidah, akhlak dan peradaban.

Ash-Shaduq di dalam kitabnya ‘Man La Yadhurruhu al-Faqih’, meriwayatkan al-Ashbagh bin Nabatah meriwayatkan daripada Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib sebagai berikut.
.
“Pada akhir zaman di waktu hampir kiamat yang merupakan masa yang paling dahsyat akan muncullah wanita yang tubuhnya seakan terbuka dan telanjang, mempamerkan kecantikan dan perhiasannya, tenggelam dalam fitnah, cenderung kepada syahwat, bersegera kepada kelazatan dan menghalalkan bagi dirinya barang yang haram. Mereka akan kekal abadi di neraka.”
.
Al-Majlisi di dalam kitabnya ‘Bihar al-Anwar’ meriwayatkan daripada ayahnya daripada Ali daripada ayahnya daripada Naufali daripada Saukani daripada Abu Abdillah katanya,
.
“Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Akan datang kepada umatku suatu ketika yang di dalamnya rahsia diri mereka penuh dengan keburukan, namun, penampilan mereka penuh dengan kebaikan, orang tamak kepada dunia, tidak menghendaki apa yang ada di sisi Allah s.w.t., perbuatan mereka merupakan riak tanpa dicampuri rasa takut kepada Allah s.w.t.. Mereka lalu berdoa seperti doa orang yang khusuk namun, doa mereka tidak diperkenankan.”
.
Dengan sanad yang sama al-Majlisi juga meriwayatkan,
.
“Rasulullah s.a.w. bersabda, “Akan datang kepada umatku suatu masa di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Al-Quran selain hanya tulisannya, Agama Islam hanya tinggal namanya yang mereka gunakan, sedangkan mereka adalah orang yang paling jauh dari Islam. Masjid mereka banyak tetapi kosong dari hidayah. Para ulama di zaman tersebut merupakan ulama yang paling buruk di muka bumi. Daripada mereka maka keluarlah fitnah dan kepada mereka pula fitnah itu kembali.”
.
Diriwayatkan daripada Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib, Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Imam Muhammad Mahdi tidak akan muncul sehingga kegelapan memuncak.”
.
Diriwayatkan daripada Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib daripada Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Sesungguhnya Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing.” Seseorang bertanya, “Siapakah orang yang asing itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka itu ialah orang yang berlaku baik ketika masyarakat telah rosak. Sesunguhnya tidak ada keterlepasan atau keterasingan bagi seorang Mukmin. Tiada seorang Mukmin pun yang meninggal dunia melainkan para malaikat menangis kerana kasihan terhadapnya. Walaupun mereka tidak menangis untuknya, maka kuburnya akan diluaskan dengan cahaya yang bergemerlapan ketika dia disemadikan.”
.
Ibnu Majah meriwayatkan di dalam Sunannya jilid ii dalam bab al-Fitan, fitnah Dajal daripada Abu Imamah al-Bahili katanya,
.
“Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada kami dan sebahagian besar kutbah Baginda adalah menceritakan tentang Dajal. Antara kata Baginda adalah sesungguhnya belum pernah ada dugaan di muka bumi semenjak Allah s.w.t. menciptakan keturunan Adam yang lebih besar dari Dajal. Allah s.w.t. tidak pernah mengutuskan seorang Nabi kecuali pasti dia memperingatkan umatnya tentang Dajal. Sesungguhnya daku adalah Nabi yang terakhir manakala anda semua adalah umat yang terakhir dan tidak dapat tidak Dajal pasti akan keluar di kalangan anda semua.”
.
Al- Kulaini di dalam kitabnya Raudhatul Kafi menukilkan sebuah hadis daripada Imam Ja’far Shadiq bin Imam Muhammad Baqir bin Imam Ali Zainal Abidin bin Saidina Husain bin Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib yang mengambarkan tingkat kemajuan yang dicapai manusia menjelang munculnya Imam Muhammad Mahdi sebagai berikut,
.
“Sesungguhnya ‘Al-Qaim’ (gelaran Imam Muhammad Mahdi), apabila muncul maka Allah s.w.t. memanjangkan bagi pengikut kami daya dengar dan daya lihat mereka sehingga antara mereka dengan Imam Muhammad Mahdi tidak perlu perantaraan orang suruhan. Dia akan berbicara dengan mereka dan mereka dapat mendengar dan melihat Imam Muhammad Mahdi yang mana dia masih tetap di tempatnya.”[20] Al-Kulaini juga meriwayatkan daripada Imam Ja’far Shadiq berkata,
.
“Sesungguhnya orang Mukmin di zaman Imam Muhammad Mahdi jika dia berada di sebelah timur dia pasti dapat melihat saudaranya di sebelah barat. Demikian pula mereka yang berada di sebelah barat akan dapat melihat saudaranya yang berada di sebelah timur.”
.
Dari hadis di atas kita dapat mengambil kesimpulan bahawa kedua riwayat tersebut mengambarkan tingkat perkembangan komunikasi yang dicapai ilmu pengetahuan moden yang berbentuk penciptaan alat telekomunikasi seperti telefon, radio, televisyen, internet dan sebagainya.
.
Syeikh at-Thusi di dalam kitabnya al-Ghibah telah meriwayatkan daripada Muhammad bin Muslim dan Abu Bashir keduanya mengatakan,
.
“Kami mendengar Abu Abdillah (gelaran Saidina Husain) berkata perkara ini tidak akan terjadi sehingga lenyapnya dua pertiga manusia.” Maka kami pun bertanya, “Jika dua pertiga manusia lenyap maka siapakah yang akan tinggal?” Beliau menjawab, “Tidakkah anda gembira menjadi sebahagian dari yang sepertiga dari bakinya?”
.
Abu Nu’aim di dalam kitabnya ‘Al-Burhan Fi Alamat Mahdi Akhiri az-Zaman’ meriwayatkan daripada Saidina Ali k.wh. bin Abi Thalib berkata,
.
“Imam Muhammad Mahdi tidak akan muncul sehingga sepertiga manusia dunia terbunuh, sepertiga mati dan hanya sepertiga sahaja yang tinggal.”
.
Riwayat di atas menceritakan tentang tanda sosial yang menunjukkan tentang kemunculan Imam Muhammad Mahdi. Namun, ada riwayat lain yang menunjukkan tentang tanda yang bersifat alamiah (kejadian alam) seperti berikut:
.
1. Gerhana matahari di pertengahan bulan Ramadan;
.
2. Gerhana bulan di penghujung bulan Ramadan tersebut;
.
3. Berlaku gempa bumi di suatu tempat bernama Baidha’ yang berada antara Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah;
.
4. Berlaku beberapa gempa bumi di timur dan barat;
.
5. Berhentinya pergerakan matahari antara waktu Zuhur dan Asar;
.
6. Matahari terbit di sebelah barat;
.
7. Munculya sebiji bintang yang sungguh bercahaya seolah-olah cahaya bulan di sebelah timur;
.
8. Terdapat debu berwarna merah yang memenuhi ruang angkasa;
.
9. Air sungai Furat melimpah sehingga membanjiri Kota Kuffah;
.
10. Berlaku pitung beliung hitam di Kota Baghdad pada awal pagi;
.
11. Belalang menyerang kawasan pertanian sehingga memusnahkan tanaman;
.
12. Seruan dari arah langit yang didengari seluruh penduduk dunia dengan menggunakan bahasa masing-masing;
.
13. Terdapat gambaran wajah manusia di permukaan matahari;
.
14. Di saat akhir kemunculan Imam Muhammad Mahdi hujan akan turun selama 24 kali sehingga tanah menjadi subur dan tumbuhan menghijau; dan
.
15. Berlaku kebakaran di sebelah timur yang apinya menjulang selama tiga atau tujuh hari.

Imam Muhammad Mahdi akan zahir di Makkah Mukarramah, di antara Ka’bah dan Makam Ibrahim pada hari Sabtu 10 haribulan Muharam………
.
Ketika keghaiban Imam Muhammad Mahdi ini pengikut setia beliau sering membaca doa berikut selepas setiap solat lima waktu.
.
“Allahumma Kunliwaliyika al-Hujjatibnil Hasan. Sholawatuka ‘Alaihi Wa ’Ala Abaih. Fi Hazihis Sa’ah. Wa Fi Kulli Sa’ah. Waliyau Wahafizha Waqaidau Wa Nashira Wa Dalilau Wa Aina Hatta Tuskinahu Ardhaka Tau’a. Wa Tumatti’ahu Fihi Thawila Birahmatika Ya Arhamarrahimin.”
.
(“Ya Allah, jadikanlah kekasihmu al-Hujjah ibni al-Hasan (Imam Muhammad Mahdi) semoga selawatmu melempah dan kepada bapa-bapanya. Di saat ini dan setiap masa. Sebagai penjaga dan pemelihara, pelindung dan penolong, petunjuk dan pembimbing kami sehingga Engkau serahkan kepadanya bumiMu dengan sukarela dan Engkau bahagiakan dia di dalammya dengan jangka masa yang lama. Dengan RahmatMu wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”


kongsi artikel ini dengan rakan anda
Share 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

kami di facebook

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...